HAK-HAK SEORANG ISTERI MENGIKUT AL-QURAN & SUNNAH
So kat sini aku muat kan apa yg u all perlu tahu mengenai hak2 u all sebagai isteri.
Sebelum itu, kita berkenalan apa makna HAK.
Hak
dari sudut bahasa ialah benar, kebenaran, kuasa atas sesuatu atau untuk
berbuat sesuatu dan ianya ditentukan oleh undang-undang, agama, adat
istiadat dan lain-lain. (kamus dewan.2002.428)
Menurut
istilah hak ialah sesuatu yang dapat dipunyai atau dikuasai, baik yang
berupa benda mahupun yang berupa wewenang dan kewajipan ialah sesuatu
yang perlu diberikan, baik yang berupa benda mahupun yang berupa
perbuatan.(syafii.1995.273)
Firman Allah s.w.t :
Ertinya:
“dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya
menurut cara yang ma’ruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu
tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah maha perkasa lagi maha
bijaksana” (al-baqarah:228)
Terdapat
beberapa hak yang wajib suami tunaikan ke atas isteri berdasarkan nas
al-Quran dan hadith Nabi antaranya hak MAHAR, hak NAFKAH, hak MENDAPAT
HUBUNGAN KOMUNIKASI YG BAIK, hak MENDAPAT BIMBINGAN DAN TUNJUK AJAR, hak
terhadap HARTA SEPENCARIAN, dan beberapa HAK ASASI WANITA, antaranya
hak wanita untuk BERSUARA, hak untuk BEKERJA dan hak TERHADAP HARTANYA
SENDIRI.
HAK-HAK YANG WAJIB DIBERIKAN KEPADA ISTERI:
1- HAK MENDAPAT MAHAR
Mahar
adalah suatu pemberian wajib dari suami kepada isterinya dengan sebab
berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri. Banyak sedikitnya mahar itu
bergantung kepada kerelaan atau kemahuan isteri. Firman Allah:
Ertinya:
“berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita yang kamu kahwini sebagai
pemberian penuh kerelaan, kemudian jika mereka menyerahkan kepadamu
sebahagian dari maskahwin itu dengan senang hati, maka makanlah
(ambillah) pemberian itu sebagai makanan yang sedap lagi baik akibatnya”
(an-Nisa’:4)
Di dalam hadith Nabi s.a.w ini ada menerangkan beberapa benda yang boleh dijadikan mahar, antaranya:
a) Mata wang,
b) Barang seperti cincin, kasut, pakaian dan sebagainya
c) Pekerjaan seperti menghafal al-Quran
d) Makanan atau bahan
e) Dengan memerdekakannya
Mahar
merupakan hak mutlak isteri yang tidak boleh diambil oleh suami sesuka
hati melainkan dengan keredhaan dan keizinan isterinya. Seorang suami
boleh berhutang mahar kepada isterinya dengan syarat ianya wajib
dilunaskan kembali. Suami yang tidak mahu membayar mahar yang dihutang
kepada isterinya diancam Allah dengan ancaman yang sama dengan
orang-orang yang berhutang dengan niat tidak mahu melunasinya padahal
mereka mampu untuk membayarnya kembali. Keadaan ini jelas merupakan
penderhakaan terang-terangan terhadap hak isteri, sekaligus menderhakai
Allah. Biasanya suami menganggap bahawa mahar itu tidak perlu lagi
diberikan kepada isterinya kerana sudah menjadi satu keluarga hingga
menurut anggapannya tidak ada lagi perhitungan hutang piutang bagi
mereka yang telah mempunyai ikatan sebagi suami isteri.
Dalam
situasi ini isteri boleh menasihati dan mengingatkan suami akan hutang
maharnya serta ancaman Allah bagi perbuatannya, jika tidak diendahkan,
isteri boleh meminta pertolongan dari pihak ke tiga untuk menasihatinya,
jika tidak berhasil isteri boleh mengadu kepada mahkamah untuk memaksa
suami melunasi hutang maharnya. Namun begitu memaafkan dan mengambil
sikap berlapang dada adalah lebih dekat kepada taqwa.
Firman Allah:
Ertinya:
“jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan
mereka padahal kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah separuh
dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali kalau isteri-isterimu
itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah.
Sikap maaf itu lebih adalah lebih dekat pada taqwa. Dan janganlah
melupakan keutamaan antara sesama kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat
apa yang kamu
kerjakan” (al-Baqarah:237)
2. NAFKAH – ZAHIR DAN BATIN
Nafkah
menurut istilah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada
mereka yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya. Biaya yang
dimaksudkan ialah semua hajat dan keperluan pelajaran, makanan, ibadat,
tempat tinggal dan sebagainya.(al-Syarbini.425). Hak nafkah yang wajib
diberikan kepada isteri boleh dibahagikan kepada dua jenis, nafkah zahir
dan nafkah batin.
NAFKAH ZAHIR
Sudah menjadi ketetapan agama bahawa suami wajib memberikan belanja untuk makan, minum,
pakaian dan tempat tinggal isteri sesuai dengan kemampuannya. Firman Allah s.w.t:
Ertinya:” hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang
yang
disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan
Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang
melainkan sekadar apa yang Allah
berikan kepadanya”.(al-Talaq:7)
Ertinya: “dan kewajipan ayah
memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.
Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya”.
(al-baqarah:233)
Ertinya:
“tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal
menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka dan
menyempitkan hati mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah
ditalaq) itu sedang hamil maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga
mereka bersalin” (al-talaq:6)
Sementara dalil-dalil dari sunnah pula:
Ertinya:
dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “saya datang kepada Rasulullah
s.a.w lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang
isteri-isteri kami? Sabdanya: “berilah mereka makan dari makanan yang
kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai,
janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka
(H.R Abu Dawud)
Ayat-ayat dan hadith di atas
menjelaskan bahawa setiap suami bertanggungjawab memberi makanan,
pakaian kepada isterinya sesuai dengan kemampuannya. Suami tidak boleh
memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada apa
yang dimakan dan dipakai suaminya. Begitu juga kadar makan dan pakai
yang menjadi hak isteri diberikan mengikut kadar yang mampu diberikan
oleh suaminya. Di dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang
di luar kemampuan suaminya. Akan tetapi sekiranya suami mampu
memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam situasi ini isteri
dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: “dari aisyah r.a berkata: sesungguhnya Hindun datang kepada rasulullah lalu berkata: “wahai Rasulullah<>
Hadith
ini menegaskan bahawa islam membenarkan bagi isteri mengambil harta
suaminya sekadar untuk keperluan dirinya dan anak-anak, jika suaminya
mempunyai harta yang cukup tetapi tidak memberikan haknya mengikut kemampuannya.
Jika suami yang bakhil di cela oleh agama dan dibenarkan bagi isterinya
mengambil tambahan dari harta suaminya tanpa pengetahuannya, maka lebih
berdosalah lagi suami yang tidak memberi nafkah isterinya. Sudah tentu
perbuatan itu tela melanggari hak isteri yang telah ditetapkan oleh
syariat islam.
Isteri boleh memberi
peringatan terhadap suami yang mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah
samada mahu memberi belanja atau menceraikannya. Menurut Imam Syafie
kadar nafkah makanan yang wajib itu adalah mengikut keadaan suami. Maka
jika suami itu orang kaya, nafkah isteri yang diwajibkan ialah dua cupak
makanan setiap hari, suami yang miskin satu cupak dan suami yang
sederhana satu cupak setengah.(Wahbah Zuhayliy.1985.798)
Menurut Imam an-Nawawi bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;
i. Makanan.
ii. Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bawang, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya).
iii. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.
iv. Pakaian.
v. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.
vi.
Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidor dan
sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal (rumah).
(an-Nawawi.450-461)
NAFKAH BATIN
Hendaklah mempergauli isteri itu dengan baik. Firman Allah:
Ertinya:
isteri-isterimu adalah seperti tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka
datangilah tanah tempat becucuk tanammu bagaimana saja kamu kehendaki.
Dan kerjakanlah amal yang baik untuk dirimu dan bertaqwalah kepada Allah
dan ketahuilah bahawa kamu kelak akan menemui Nya. Dan berilah khabar
gembira orang-orang beriman. (al-Baqarah:223)
Ertinya: ...”dan bergaullah dengan mereka dengan sebaik-baiknya....”
Dalam Islam isteri boleh
menolak hajat atau keinginan suaminya untuk bersetubuh dengan syarat ia
mestilah dalam keadaan darurat atau keuzuran seperti semasa haid, nifas,
sedang dalam ihram dan sebagainya. Bagaimanapun pengertian mengenai
darurat dan keuzuran bukan setakat itu, banyak lagi perkara lain yang
perlu difahami setiap suami. Misalnya jika isteri mengalami masalah
kesihatan yang menyebabkan isteri tidak berupaya melayan kehendak seks
suami, ia juga ditakrifkan sebagai darurat. Begitu juga jika isteri
berada dalam keletihan yang amat sangat, penolakan berkenaan dirujuk
kepada isteri yang dalam tertekan, runsing, mengantuk yang teramat
sangat dan keletihan yang amat sangat sehingga meyebabkan isteri
berkenaan tidak berkeupayaan melayani kehendak seks suaminya dengan
baik, ia juga dibolehkan. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang bekerja,
tujuannya untuk membantu suaminya sendiri dalam soal kewangan.
Akan
tetapi isteri perlu faham, jika mereka menolak hajat suaminya, ia
mestilah ditolak dengan cara yang baik dan mestilah dijelaskan dengan
sejelas dan sebaiknya sebab-sebab itu kepada suaminya, sehingga suaminya
boleh memahami dan bertolak ansur dengannya.
Terdapat
juga sesetengah suami yang sanggup menggunakan kekerasan atau paksaan
ke atas isterinya untuk melakukan hubungan jenis demi memuaskan nafsunya
sendiri dengan menafikan terus hak isteri , walaupun isteri berada
dalam keadaan tidak bersedia dan sudah pun menolak hajatnya dengan baik.
Dalam keadaan seperti ini, jika suami tidak memahaminya, isteri boleh
membawanya ke mahkamah dan mahkamah pasti akan memberikan pertimbangan
yang sewajarnya.
Namun begitu
pangertian nafkah batin bukanlah berkisar perlakuan seksual semata-mata.
Seks hanya salah satu cabang bagi maksud nafkah batin, selain seks
berkongsi masalah, mendengar luahan isteri, berbual dan bermesra serta
mendidik ajaran agama terhadap isteri juga termasuk dalam definisi
nafkah batin.
3. KOMUNIKASI YANG BAIK
Membina
komunikasi yang baik sesama suami isteri adalah dituntut di dalam
Islam. Suami harus berlaku adil kepada isteri, dan isteri juga haruslah
berlaku adil terhadap suami. Komunikasi yang baik terhadap isteri
termasuklah melayaninya dengan baik, lembah lembut, bertolak ansur sama
ada dalam hubungan fizikal atau mental. Ini bersesuaian dengan sifat
semula jadi wanita yang lembut dan mudah terguris hatinya. Perkara ini
jelas dinyatakan dalam hadith Nabi s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w:
dari Abu Hurairah r.a ia
berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “pergaulilah kaum wanita itu dengan
pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu
dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang
sebengkok-bengkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak
meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak
diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu
pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. (H.R Bukhari dan
Muslim)
Hadis tersebut jelas
menerangkan cara komunikasi yang berkesan terhadap wanita.Perlakuan
kasar kepada isteri mencakupi ucapan yang menyakitkan atau tindakan yang
menyakitkan fizikalnya. Bentuk tindakan yang menyakitkan perasaan
isteri misalnya mencari-cari kesilapan isteri, mengkhianati isteri,
menganggu ketenangan isteri malam hari misalnya dengan pulang lewat
malam dari berpoya-poya atau bermain atau bersembang-sembang di luar
hanya memenuhi seleranya sendiri tanpa memerhatikan kepentingan isteri.
Tindakan seperti ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w, sabda Baginda:
Ertinya: dari Jabir: Nabi s.a.w melarang suami mengetuk pintu keluarganya pada malam hari,
melarang berkhianat kepada mereka atau mencari-cari kesalahan mereka. (H.R Muslim)
Seorang suami yang baik akan
sentiasa menghormati dan melayani isteri dengan baik dan bersabar
dengan tingkah laku isterinya yang mungkin tidak disukainya. Firman
Allah:
Ertinya: ...”dan bergaullah
dengan mereka secara patut (makruf), kemudian bila kamu tidak menyukai
mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menykai sesuatu
padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”
Dalam hal ini jika suami
gagal berkomunikasi dengan baik terhadap isteri hingga membawa kepada
masalah yang besar, isteri boleh menasihati dan mengingatkan suami akan
hak tersebut. Jika suami enggan berubah isteri boleh meminta bantuan
daripada orang tengah untuk menasihati suami agar tidak berkasar dengan
isteri. Jika tidak berhasil isteri dapat mengadukan masalahnya ke
mahkamah syariah untuk mengambil tindakan tertentu kepada suaminya agar
tidak mengulangi kekasarannya terhadap isteri. Dalam hal ini isteri
haruslah celik agama dengan memahami dan menghayati segala hak yang
telah diberikan Islam kepadanya untuk menjamin
maruah wanita Islam.
4- HAK MENDAPAT BIMBINGAN DAN TUNJUK AJAR
Isteri
berhak menerima bimbingan dari suami dan tunjuk ajar serta nasihat
darinya samada dari sudut pendidikan agama, pergaulan sesama saudara
baik dari sebelah isteri mahupun suami, dengan jiran tetangga,cara
berpakaian, cara mengawal emosi dan sebagainya. Suami juga berhak
mengajar isteri cara mendidik anak dengan betul malah isteri dan
anak-anak berhak mendapat contoh akhlak yang terpuji dari suaminya
sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a dari Nabi
s.a.w:
Ertinya:” Barangsiapa yang
beriman dengan Allah dan hari akhirat maka janganlah menyakiti jiran
tetangganya, dan hendaklah kamu berpesan tentang berbuat baik terhadap
perempuan kerana sesungguhnyaperempuan ini dijadikan daripada tulang
rusuk yang bengkok, sebengkok-bengkok tulang rusuk itu yang atasnya,
sekiranya engkau cuba membetulkannya ia akan patah dan jika sekiranya
engkau membiarkannya dia akan terus bengkok, oleh itu maka hendaklah
engkau sentiasa berpesan tentang berbuat baik kepada perempuan”.
Ertinya:Rasulullah s.a.w
bersabda:”setiap orang di antaramu adalah pemimpin dan setiap orang akan
dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya, seorang imam adalah pemimpin
atas umatnya,dan dia bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang suami
adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas isteri
dan keluarganya.....(HR Ahmad,Abu Dawud dan Tirmizi)
Begitu juga suami wajib
memelihara isterinya dari segala perkara yang boleh mencemarkan
kehormatannya dan menjauhkannya dari perbincangan yang tidak baik.
Begitu juga dalam mendisiplinkan isteri, suami berhak mendidik dan
memberi tunjuk ajar yang baik kepada isteri.
Ertinya: “hai orang-orang
yang beriman jagalah dirimu dan keluargamu dari seksa api neraka yang
bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat
yang keras yang tidak menderhakai Allah atas perintah-Nyadan selalu taat
pada apa yang diperintahkan kepada mereka” (at-Tahrim:6)
Ayat di atas jelas
menunjukkan bahawa suami bertanggungjawab menjaga ahli keluarganya
termasuk isteri dari segala macam perbuatan dosa ataupun syirik. Ia juga
menegaskan hak isteri untuk dijauhkan dari perbuatan dosa dan maksiat.
Jika isteri nyata telah melakukan perbuatan dosa maka wajblah suami
mengambil tindakan. Namun begitu terdapat juga suami yang mengajak
isterinya melakukan dosa dan maksiat, maka suami ini telah derhaka
terhadap isterinya dan terhadap Allah kerana tidak menjalankan tugasnya
untuk mendidik dan menjauhkan isteri dari perbuatan dosa.
5- HAK BEKERJA
Bekerja
merupakan suatu yang telah disyariatkan islam untuk memenuhi keperluan
hidup seharian seperti makan, minum, pakai, tempat tinggal dan untuk
memberi nafkah bagi orang yang dibawah tanggungannya. Dalam konteks
wanita bekerja menurut islam, hukum asal baginya adalah tidak perlu
keluar untuk bekerja, ini adalah kerana nafkahnya akan ditanggung oleh
suami bagi yang telah berumahtangga, manakala yang tidak berkahwin akan
ditanggung oleh bapa atau wali dibawahnya1. Ini merupakan satu anugerah
besar yang diberikan dalam Islam untuk kaum wanita dimana mereka tidak
perlu bersusah payah, bertungkus lumus memcari rezki untuk orang lain.
Akan tetapi di sana terdapat beberapa situasi yang membenarkan wanita
untuk keluar bekerja, antaranya jika keadaan terdesak yang memerlukan
mereka keluar sepertimana yang berlaku ke atas kedua anak perempuan Nabi
Allah syuaib a.s. Firman Allah:
Ertinya: “dan tatkala ia
sampai di sumber air negeri madya ia menjumpai di sana sekumpulan orang
yang sedang meminumkan ternaknya, dan ia menjumpai di belakang orang
banyak itu dua orang wanita yang sedang menghambat ternakannya. Musa
berkata: “apakah maksudmu dengan berbuat begit?”kedua wanita itu
menjawab: “kami tidak dapat meminumkan ternakan kami sebelum
pengembala-pengembala itu memulangkan ternaknya sedangkan bapa kami
adalah orang tua yang lanjut umurnya”. Maka Musa memberi minnum ternak
itu untuk menolong mereka berdua, kemudian dia kembali di tempat yang
teduh lalu berdoa: “ya Ttuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan suatu
kebaikan yang Engkau turunkan padaku”. (al-Qasas: 23-24)
Dalam menongkah arus
kehidupan di era ini yang serba kompleks serta menuntut kepada banyak
tuntutan kehidupan yang segalanya perlu dibayar dengan wang ringgit.
Oleh yang demikian kerjasama antara suami isteri amatlah digalakkan demi
menjamin kehidupan yang berkualiti. Kerjasama isteri dalam menjana
ekonomi rumahtangga demi membantu suami merupakan lumrah kehidupan masa
kini. Dan ia merupakan suatu desakan hidup memandangkan taraf kehidupan
pada masa kini yang semakin meningkat, dengan urusan persekolahan
anak-anak, hutang rumah, kereta dan segala macam lagi bil-bil yang perlu
dilunaskan menuntut isteri keluar bekerja untuk membantu meringankan
beban suami. Akan tetapi, suami hendaklah mendapat persetujuan dari
pihak isteri untuk membantunya.
Diharuskan wanita keluar bekerja asal sahaja mereka dapat mematuhi peraturan-peraturan berikut:
1- situasi yang mendesak wanita keluar bekerja
2- niat untuk mendapatkan rezki yang halal dan mendapat keredhaan Allah
3- mendapat keizinan suami atau wali
4-
Janganlah pekerjaan atau tugasnya itu mengabaikan kewajipan-kewajipan
lain yang tidak boleh diabaikan seperti kewajipan terhadap suami dan
ank-anaknya yang merupakan kewajipan pertama dan tugas utamanya.
5- pekerjaan itu tidak bertentangan dengan syarak.
6-
Menutup aurat dan memenuhi adab wanita muslimah ketika keluar rumah,
dalam berpakaian, berjalan, berbicara, dan melakukan gerak-geri
7- Mengimbangi antara tugas di rumah dan di tempat kerja
Setelah membicarakan hak
bekerja bagi isteri dan keharusannya untuk keluar bekerja untuk membantu
meringankan beban suami, maka tidak wajarlah bagi suami melimpahkahkan
tanggungjawabnya kepada isteri seperti tidak mahu lagi memikul beban
keluarga baik dalam urusan memimpin mahupun membelanjai keluarga. Ia
menjadikan suami lelaki yang tidak bertanggungjawab, dengan menyuruh
isterinya bekerja mencari nafkah, mengurus pendidikan anak, mengatur
rumahtangga sekaligus juga melayani dirinya. Suami sebegini telah
melanggar ketetapan yang telah digariskan Allah dan Rasul-Nya.
Rasulullah s.a.w pernah menyampaikan peringatan bahawa satu kaum,
termasuk di dalamnya suami, tidak akan memperoleh kejayaan bila
menjadikan wanita, termasuk di dalamnya isteri sebagai pemimpin
Dari Abu Bakrah bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda:”suatu kaum tidak akan beruntung kerana mereka
menyerahkan urusan-urusan mereka kepada wanita”. (H.R Bukhary, Tarmizi
dan Nasa’i)
Jika seorang isteri
yang suaminya membebaninya untuk memimpin rumahtangga dan memikul
tanggungjawab mencari nafkah bagi keluarganya hendaklah mengambil
langkah-langkah berikut, antaranya mengingatkan dan menasihati suaminya
agar menyedari fungsinya sebagai pemimpin dan pencari nafkah bagi
keluarganya, jika tidak minta bantuan orang ketiga untuk menasihatinya
akan tanggungjawabnya memimpin dan memikul beban keluarga, jika tidak
berjaya minta bantuan mahkamah syariah untuk menasihatinya dan jalan
yang terakhir jika suami tidak mengendahkannya adalah dengan memohon
cerai yang dipandang sebagai jalan terakhir dan terbaik untuk dirinya
dan anak-anak.
6. HAK BERSUARA
Kebebasan
bersuara bermaksud seseorang mumpunyai hak untuk menyuarakan
pendapatnya dalam apa jua perkara samada umum atau khusus dan samada
pendapat itu bersesuaian atau bertentangan dengan pendapat umum (abdul
kareem zaydan.1997.210)
Di dalam sesebuah institusi
rumahtangga suami isteri mempunyai hak untuk mengutarakan apa jua
pendapat yang dapat membina dan menjamin kerukunan dan kebahagiaan
sesebuah rumahtangga. Hak isteri bersuara menyatakan haknya juga
dibenarkan di dalam islam lebih-lebih lagi jikalau haknya tidak
ditunaikan oleh suami. Sekiranya isteri bersuara untuk mendapatkan
haknya yang telah diingkari oleh suami, tidaklah wajar bagi suami
mengatakan bahawa isterinya telah menderhakainya sedangkan si isteri
sedang memperjuangkan haknya yang telah diabaikan oleh suami. Akan
tetapi dalam keadaan ini isteri haruslah pandai memainkan peranannya
supaya apa yang akan disuarakannya itu dapat disampaikan dengan cara
yang bijak dan berhikmah.
7- HAK TERHADAP HARTA ISTERI
Sudah
menjadi amalan masyarakat kita hari ini menganggap harta isteri adalah
harta suami dan boleh digunakan oleh suami sebagaimana harta suami yang
digunakan oleh isteri. Malahan terdapat segelintir suami yang sanggup
memaksa isteri bekerja dan mengambil wang gaji isteri tanpa keizinannya.
Ini merupakan suatu amalan yang buruk dan melanggar hak seorang isteri
di mana di dalam islam harta isteri merupakan harta khususnya yang tidak
boleh digunakan sesuka hati oleh suami melainkan sesudah mendapat
keizinannya dan isteri redha menyerahkan hartanya kepada suami. Jika
tidak harta itu adalah hak mutlak isteri yang tidak boleh diganggu
gugat.
Menurut Yusuf al-Qardawi
tidak halal bagi suami menyusahkan isterinya dan memperlakukannya dengan
buruk agar si isteri menebus dirinya dengan mengembalikan harta yang
telah diberikan kepadanya seluruhnya atau sebahagiannya sedangkan isteri
tidak melakukan perbuatan keji yang nyata. (qardawi.2000.249) Ini jelas
dinyatakan di dalam firman Allah:
“janganlah
kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari
apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali jika mereka melakukan
perbuatan keji yang nyata” (surah an-nisa’:19)
Bagi suami yang tidak suka
kepada isterinya dan ada hasrat menikah dengan wanita lain, maka
diharamkan baginya mengambil kembali apa yang tela diberikannya kepada
isterinya. Firman Allah:
“dan
jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu
telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak,
maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikit
pun....” (surah an-nisa’:20-21)
8- HAK TERHADAP HARTA SEPENCARIAN
Harta
sepencarian menurut bahasa ialah harta benda yang diperolehi daripada
usaha suami isteri.(kamus dewan.2002.443). Aset yang diperoleh oleh
suami isteri dalam masa perkahwinan melalui usaha bersama mereka, adalah
sinonim dengan “harta sepencarian” dan tidak melibatkan aset isteri
yang diperolehi dari usaha tunggalnya sendiri atau harta pusaka yang
diwarisinya. “Harta sepencarian” telah ditafsirkan oleh Akta
Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta
303) sebagai “harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa
perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh
Hukum Syara’.(Akta undang-undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan
1984.)
Sumbangan secara tidak
langsung oleh isteri seperti sumbangan ke arah kebajikan keluarga dengan
memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga diambilkira sebagai
sumbangan untuk memperolehi harta sepencarian. Penyertaan isteri dalam
kerja-kerja suaminya walaupun secara tidak langsung seperti hanya
mengiringi suami dalam perjalanan untuk menjalankan perniagaan hendaklah
dianggap sebagai sumbangannya dalam perolehan harta kerana penyertaan
isteri itu memberi kedamaian dan ketenteraman kepada suami sehingga
berjaya dalam pekerjaannya. Oleh itu apa-apa aset/harta sama ada harta
alih atau harta tak alih yang diperolehi semasa perkahwinan adalah
menjadi harta sepencarian. Sumbangan tidak langsung ini telah diiktiraf
oleh hukum Syara’. Dalam ayat 228 surah al-Baqarah, Allah berfirman:
yang
bermaksud: "... Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti
kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang
sepatutnya (dan tidak dilarang
hukum Syara’).....”.
Dari kenyataan di atas jelas
bahawa dalam suatu tuntutan harta sepencarian, sumbangan satu pihak
hanya timbul jika suami sahaja yang berkerja mendapatkan harta tersebut
manakala pihak isteri berada di rumah untuk menjalankan tanggungjawabnya
sebagai isteri. Dalam keadaan ini isteri dianggap sebagai memberi
sumbangan secara tidak langsung dan sumbangan itu diakui oleh Syara’.
Jika isteri bekerja dan memperoleh harta sedangkan suami tidak bekerja
tetapi mendakwa bahawa beliau telah memberi sumbangan secara tidak
langsung dengan menjaga keluarga seperti menghantar isteri ke tempat
kerja dan menjaga anak-anak di rumah, maka tuntutan suami untuk
mendapatkan bahagiannya daripada harta tersebut tidak diiktiraf oleh
hukum Syara’. Ini adalah kerana tanggungjawab sebenar mencari rezeki dan
mencari harta untuk kebahagian rumahtangga adalah terletak pada suami.
Petikan dpd: HAK-HAK ISTERI DALAM PERKAHWINAN MENURUT AL-QURAN DAN
AL-SUNNAH
Oleh:
Robiatul Adawiyah Mohd
Kolej Universiti Islam Malaysia
adawiyah@admin.kuim.edu.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan